Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera
Asma
Pengenalan
Asma adalah sejenis penyakit saluran penafasan yang kronik yang
melibatkan saluran udara yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Ia
menyebabkan kekejangan dada dan sesak nafas yang dikenali sebagai 'serangan
atau episod asma'. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau
dikawal dengan baik.
Asma adalah ketidakaturan atau gangguan keradangan yang kronik
yang melibatkan saluran udara. Saluran udara ini merupakan laluan bagi udara
yang disedut untuk memasuki paru-paru. Bagi penyakit asma, saluran udara yang
mengalami keradangan adalah sangat sensitif bila terdedah kepada pelbagai
ransangan atau "pencetus". Ia akan menjadi sempit, menyebabkan
kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis asma: asma alahan dan bukan
alahan. Seseorang itu berkemungkinan untuk mempunyai kedua-dua jenis asma ini.
Asma alahan
Asma jenis ini juga dikenali sebagai Asma Ekstrinsik (luaran) atau
Asma Atopik. Ia terhasil apabila berlakunya penyedutan bahan-bahan yang pada
kebiasaannya tidak membahayakan individu yang sihat. Hanya mereka yang alah
atau alergik kepada bahan tersebut akan mendapat asma jenis ini. Contoh
bahan-bahan tersebut termasuklah debunga, spora kulat, hama, bulu haiwan dan
juga bahan alergen lain dalam makanan. Asma jenis ini biasanya bermula sejak
zaman kanak-kanak lagi. Asma alahan ini selalunya disertai dengan gangguan
alahan-alahan lain seperti Dermatitis,Urtikaria dan Rinitis
Asma bukan alahan
Ia juga dikenali sebagai Asma Intrinsik (dalaman). Kaum wanita lebih
mudah mendapat penyakit ini berbanding dengan kaum lelaki dan ia adalah kronik.
Cuaca sejuk, asap rokok, bau cat dan gasolin, infeksi atau jangkitan dan
tekanan psikologi adalah antara faktor-faktor yang boleh mencetus atau
memburukkan lagi keadaan asma jenis ini. Serangan asma ini boleh berlaku dalam
bentuk yang ringan sehingga kepada yang lebih teruk dan boleh berterusan dari
beberapa minit hingga ke beberapa hari. Ia juga boleh berulang setiap beberapa
jam.
Keterukan asma:
• Bagi serangan yang ringan
dan berterusan, gejalanya muncul lebih dari dua kali dalam seminggu, tetapi
bukan setiap hari
• Bagi serangan yang
sederhana, individu yang terlibat akan mengalami gejala asma setiap hari.
• Bagi serangan yang teruk, pesakit mempamerkan
gejala yang bereterusan dan kerap.
Asas Saintifik
Sistem
penafasan manusia membekalkan oksigen ke seluruh badan. Ia juga bertindak
sebagai laluan untuk mengeluarkan gas karbon dioksida yang tidak diperlukan.
Sistem respiratori> manusia terdiri daripada:
Hidung
-
sebagai pintu masuk udara persekitaran yang mengandungi oksigen dan juga
sebagai pintu keluar bagi karbon dioksida.
Saluran
Udara -
berperanan sebagai laluan sebelum udara memasuki paru-paru dan selepas udara
dibebaskan dari paru-paru. Saluran udara ini mengandungi banyak cabang yang
dikenali sebagai bronkus dan bronkiul (bronkus yang lebih kecil). Paru-paru -
tempat di mana berlakunya pertukaran di antara oksigen yang disedut dengan
karbon dioksida dari dalam darah.
Mereka
yang menghidap asma memiliki saluran udara yang sangat sensitif dan mudah
terdedah kepada pencetus asma tertentu. Semasa serangan asma berlaku, saluran
udara mengalami beberapa perubahan, termasuklah:
•
Bronkospasma (otot licin dari dinding bronkus mengalami kekejangan/ spasma)
• Penghasilan
mukus yang berlebihan
•
Keradangan atau inflamasi. Proses ini memburukkan lagi penyempitan saluran
udara.
Perubahan
ini mengurangkan pengaliran udara dan menghasil bunyi ronkus. Pengidap asma
akan merasa seperti tercekik. Mereka termengah-mengah untuk menyedut udara,
tetapi apabila udara telah masuk ke paru-paru, udara ini akan terperangkap di
sebalik mukus dan amat sukar untuk dihembus keluar. Serangan asma boleh
berlanjutan dari beberapa minit hingga ke beberapa jam bergantung kepada keterukan
penyakit yang dihidapi.
Penyebab
Asma
alahan disebabkan oleh alergen (pencetus alergi). Alergen ini biasanya mencetus
gejala asma sewaktu penghidap asma bernafas. Saluran udara yang begitu sensitif
akan mengalami pencerutan apabila alergen memasuki sistem penafasan melalui
hidung.
• Debunga, kulat dan hama adalah di antara
alergen yang selalu hadir di udara. Kadangkala seseorang yang alah atau alergik
boleh mendapat serangan asma apabila tertelan alergen. Contohnya seperti perisa
makanan dan ubat-ubatan.
Untuk
asma yang bukan alahan, pencetusnya tidak ada kaitannya dengan alahan tetapi
masih mampu menimbulkan perubahan pada laluan udara sebagaimana tindakan
alergen. Contoh-contoh pencetus bukan alergen ialah:
• Agen Bawaan Udara - sebatian yang bercampur
dengan udara seperti wasap dan wap dan asap. Agen atau bahan yang yang boleh
mencetus gejala asma ini boleh wujud di dalam dan di luar rumah. Satu contoh
bahan yang boleh wujud di luar rumah ialah gas karbon monoksida dari asap
kenderaan. Contoh-contoh bahan bawaan udara yang wujud di dalam rumah
termasuklah asap dari dapur dan wap dari cat aerosol.
• Jangkitan pada sistem penafasan - terutamanya
demam dan selsema. Kuman-kuman virus akan menyerang pengalas saluran udara
dengan merangsang hujungan saraf menyebabkan otot yang menyelaputi saluran
udara semakin tercerut.
• Senaman dan juga lain-lain aktiviti fizikal
mampu menyebabkan pesakit asma terpaksa bernafas dengan lebih cepat. Sesetengah
individu menghidap asma yang teraruh oleh senaman. Ini bermaksud, mereka hanya
mengalami gejala asma ketika bersenam.
• Udara yang sejuk atau perubahan cuaca boleh
mencetus asma kerana otot di sekitar saluran udara akan mengalami pencerutan
sebagai tindak balas terhadap suhu udara.
• Emosi dan stres juga mampu mempengaruhi
kekerapan dan keterukan asma. Desakan udara yang melalui saluran udara ketika
marah dan resah mampu mencetuskan asma.
Faktor - Faktor
Risiko
Faktor-faktor
risiko asma adalah terdiri daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan
keradangan pada saluran udara. Bagi mereka yang mengalami keradangan saluran
udara sangat sensitif terhadap pencetus asma.
• Pencemaran udara
Mereka yang mudah
terdedah kepada pencemaran udara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat
penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang tinggal di kawasan bandar, tinggal
bersama-sama perokok dan yang bekerja di persekitaran yang tercemar. Udara yang
tercemar mengandungi pelbagai pencetus asma seperti asap dan wasap. Biasanya, ibu bapa
yang mengidap Asma mempunyai 6 kali ganda risiko untuk memperolehi anak yang
menghidap asma.
• Bayi
pramatang
Bayi pramatang juga
memiliki risiko yang tinggi untuk menghidap Asma apabila umur mereka meningkat
kelak. Ini kerana, sewaktu mereka dilahirkan, sistem respirasi mereka masih
belum matang dan masih belum mampu berfungsi sepenuhnya. Golongan ini mudah
menghidap Asma kerana mereka menghadapi masalah untuk menyedut dan menghembus
udara keluar dari paru-paru.
•
Merokok
Rokok
mengandungi asap tembakau. Asap tembakau mengandungi pelbagai sebatian kimia
yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran udara dan seterusnya
menyebabkan asma.
Rawatan Pertolongan
cemas
Apabila
serangan Asma berlaku, anda perlu mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Sementara menunggu ketibaan bantuan dari pihak yang berkenaan, anda seharusnya
melakukan perkara-perkara berikut:
•
Tenangkan pesakit tersebut. Pesakit yang tenang dapat membantu memudahkan
pernafasan dan seterusnya mengelakkan serangan Asma menjadi lebih buruk.
• Bantu
pesakit untuk duduk mencondong ke hadapan. Kedudukan ini akan membantu
menghalang penyempitan saluran udara.
•
Pastikan pengudaraan yang baik. Ini adalah untuk memastikan pesakit memperolehi
bekalan oksigen yang mencukupi.
• Jika
pesakit mempunyai ubat, pastikan dia menggunakan ubat tersebut sebaiknya untuk
meredakan gejala-gejala Asma. Jika Asma tersebut hanya serangan ringan, bantuan
perubatan kecemasan tidak begitu diperlukan. Namun begitu, jika serangan
tersebut berpanjangan dan ubat tidak berkesan, dapatkan bantuan perubatan
dengan segera.
Rawatan
Farmakologi
Terdapat
pelbagai jenis ubat-ubatan untuk Asma. Namun begitu, biasanya ubat ini diambil
melalui penyedutan. Cara ini adalah yang paling efektif untuk membolehkan ubat
masuk terus ke saluran udara. Teknik penggunaan alat sedut (inhaler) ini perlu
dititikberatkan. Penghidap Asma perlulah memastikan cara penggunaan alat ini
dengan betul melalui bantuan doktor ataupun pegawai farmasi.
Terdapat
pelbagai jenis ubatan yang digunakan untuk mengawal gejala Asma, termasuklah:
• Ubat anti-inflamasi
Ubat jenis ini
digunakan untuk mengurangkan keradangan pada saluran udara dan ini biasanya
disediakan dalam bentuk kortikosteroid yang disedut. Ubat ini dapat menahan
serangan asma daripada berlaku dan juga untuk menghalang gejala-gejala asma
seperti batuk, kesukaran bernafas dan bunyi ronkus. Ubat anti-inflamasi
hendaklah diambil secara berkala. Terdapat pelbagai jenis ubat anti-inflamasi
ini dalam pasaran seperti Becotide dan Pulmicort
•
Bronkodilator
Fungsi ubat ini
adalah untuk mengendurkan otot yang menyelaputi tiub bronkiul. Bronkodilator
memberikan kelegaan yang segera terhadap gejala-gejala asma dan menghentikan
serangan asma. Ia boleh diambil secara oral/telan ataupun secara penyedutan.
Dua jenis Bronkodilator yang biasa digunakan ialah Aminophylline dan
Theophylline. Satu contoh Bronkodilator yang diambil secara penyedutan yang
biasa terdapat di pasaran ialah Ventolin.
•
Profilaksis
Ubat atau dadah jenis
ini digunakan untuk menghalang serangan dari berlaku. Ia tidak digunakan untuk
merawat serangan yang sedang berlaku. Contoh dadah jenis ini ialah Cromolyn
Sodium (Intal).
Terdapat
hirarki dalam merawat penghidap asma bergantung kepada keterukan serangan
mereka.
•
Serangan asma ringan - Bronkodilator secara menyedut atau oral
•
Serangan yang lebih serius - Kortikosteroid dan Bronkodilator (oral/ inhalasi)
• Asma
teruk yang akut - pesakit dimasukkan ke hospital, diberi bantuan oksigen dan
menerima ubat secara intravena.
Kesan
buruk penggunaan ubatan secara berlebihan (terutamanya yang diambil secara
penyedutan). Kesan sampingan ubat yang diambil secara penyedutan termasuklah:
• Sakit
kerongkong/tekak
•
Jangkitan pada mulut
•
Denyutan jantung yang cepat
• Sakit
kepala
•
Perengsaan di perut
• Gangguan
selera makan
• Boleh
menyebabkan gangguan proses tumbesaran
Pemantauan
Pemantauan
di rumah memudahkan pesakit memantau keadaan Asma mereka setiap hari. Sejenis
alat yang dipanggil Peak Flow Meter boleh digunakan untuk memeriksa fungsi
paru-paru. Ia boleh memberitahu samada saluran udara tersebut sempit ataupun
tidak. Alat ini juga boleh memberitahu samada ubat diperlukan atau tidak,
berpandukan kepada gejala pada hari tersebut.
Alat
ini dapat mengukur kelajuan udara yang dihembus keluar dari paru-paru. Struktur
asas alat ini terdiri daripada satu tiub bersama indikator yang boleh
menggelongsor. Indikator ini bergerak di sepanjang skala pada tiub tersebut.
Untuk menggunakan alat ini, pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam yang
mungkin dan hembuskan ke dalam tiub tersebut sekuat hati.
• Asma
anda berada dalam keadaan baik jika bacaan pada meter adalah di antara 80 -
100%
• Jika
bacaan anda di antara 50 - 80%, anda perlu berhati-hati kerana asma anda tidak
dikawal dengan baik. Bersedialah dengan ubat sekiranya serangan yang mengejut
terjadi.
• Jika
bacaan anda di bawah 50%, ambil ubat dan cuba hembus lagi. Jika bacaan masih
tidak meningkat, jumpa doktor anda secepat mungkin.
Ambil
bacaan anda setiap pagi. Gunakan bacaan tersebut untuk menentukan aktiviti anda
pada hari tersebut. Kemudian cuba gredkan sama ada gejala anda pada hari
tersebut tiada, ringan, sederhana atau pun teruk. Jika anda mengalami serangan
Asma, cuba kenal pasti pencetusnya. Setelah anda merekodkan keadaan Asma anda
selepas beberapa bulan, anda akan lebih maklum mengenai keadaan Asma anda.
Anda
juga perlu bersedia apabila simptom anda muncul. Sediakan perkara-perkara di
bawah:
• Nombor
telefon doktor anda
• Nombor
telefon pusat rawatan kecemasan yang terdekat
• Preskripsi kecemasan
untuk memudahkan anda memperolehi ubat-ubatan anda
• Tahu
cara untuk mengambil ubat dengan betul
Insidens
Di Malaysia sehingga
tahun 1999, 5% dari orang dewasa dan 10% kanak-kanak menghidap Asma. Jadual di
bawah menunjukkan peratusan penghidap Asma berasaskan umur:
Semua
peringkat umur
|
4.8%
|
0-18
tahun
|
6.1%
|
19-44
tahun
|
4.1%
|
45-64
tahun
|
4.2%
|
65
tahun ke atas
|
5.2%
|
No comments:
Post a Comment