Denaihati.com

Thursday, 4 July 2013

Mutiara Iman: Amalan Penghapus Dosa Kecil

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته   
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera  

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bertanya (kepada para sahabatnya)

“Adakah kamu ingin tahu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan dosa oleh Allah SWT dan mengangkat darjat kamu? Maka mereka menjawab “Ya, wahai Rasulullah SAW.” Sabda Baginda, “Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan, dan banyakkanlah langkah menuju ke masjid-masjid (untuk sembahyang), menanti sembahyang selepas sembahyang adalah jihad“.

Di dalam hadis daripada Malik bin Anas, itu adalah jihad, itu adalah jihad (disebut sebanyak dua kali dalam Riwayat Muslim). Manakala di dalam hadis riwayat Tirmizi pula disabdakan sebanyak tiga kali.

Di dalam hadis ini disebut 3 amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil dan menaikkan darjat seseorang Muslim iaitu;

1. Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk; 
2. Memperbanyakkan langkah ke masjid dan; 
3. Menunggu atau menanti satu sembahyang selepas satu sembahyang (juga merupakan satu jihad).

Huraian:

1) Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan.
Berwuduk ketika cuaca sejuk atau menggunakan air sejuk adalah satu amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

2) Memperbanyakkan langkah ke masjid
Dari Jabir r.a. lagi, katanya: “Bani Salimah ( salah satu kabilah kaum Anshar yang terkenal radhiallahu ‘anhum ) bermaksud hendak berpindah tempat berdekatan dengan masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW., kemudian Baginda SAW bersabda kepada Bani Salimah itu: “Sesungguhnya telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua ingin berpindah ke tempat berdekatan dengan masjid?” Mereka menjawab: “Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian itu.” Baginda SAW bersabda lagi: “Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu – pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah berdekatan masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu.”

 (Riwayat Muslim)

3) Menanti sembahyang selepas sembahyang
Menunggu atau menanti satu sembahyang contohnya menunggu waktu Isyak setelah selesai mengerjakan fardu Maghrib atau keluar daripada masjid setelah selesai satu sembahyang tetapi kembali semula sebelum masuk waktu sembahyang yang berikutnya. Perbuatan menunggu satu sembahyang selepas satu sembahyang juga merupakan satu jihad. Jihad ini, adalah lebih mudah dan ringan untuk dilakukan jika dibandingkan dengan jihad peperangan. Namun begitu tidak ramai yang mampu untuk melakukannya kerana ia bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Nafsu lebih cenderung membawa seseorang untuk berada di luar masjid daripada menunggu di dalam masjid.

Sama-sama kita bermuhasabah dan berusaha untuk menghapuskan dosa-dosa kecil dengan amalan ini, insyaAllah

Sumber : Unit Islam Hadhari MOA

No comments:

Post a Comment