Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera
Seorang yang beriman sangat takut akan sebuah dosa yang dia lakukan sekalipun dosa itu kecil. Adapun seseorang yang sering melakukan dosa sangat meremehkan dosa yang dia lakukan.
"Abdullah bin Mas'ud r.a berkata: "Sesungguhnya seorang mukmin memandang dosa-dosanya seakan-akan ia sedang duduk di bawah gunung dan ia takut gunung tersebut jatuh menimpanya. Dan seorang fajir (yang selalu berbuat dosa) memandang dosa-dosanya seperti seekor lalat yang lalu di hidungnya lalu ia berkata demikian (mengipaskan tangannya di atas hidungnya) untuk mengusir lalat tersebut". (Riwayat Bukhari)
Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, dosa kecil yang paling tinggi adalah dosa seorang lelaki melihat perempuan (yang bukan mahramnya).
Dosa-dosa kecil ini jika disoal dengan terperinci oleh Allah SWT pada hari kiamat ini, maka binasalah (terseksalah) orang yang melakukannya dan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sekiranya jika Allah menyoal kita mengapa kita menonton rancangan televisyen yang tidak sepatutnya ditonton, mengapa selalu mendengar perkara yang tidak patut didengari, mengapa bercakap sesuatu yang membawa kepada kesalahan dan dosa, mengapa melakukan sesuatu pembaziran dan sebagainya. Maka sudah tentu itu sahaja sudah cukup menjadikan kita dikalangan hamba yang muflis di akhirat kelak dek kerana bertimbunnya dosa-dosa kecil yang kita anggap biasa namun ianya menjadi persoalan dan dikira oleh Allah SWT. NauzuBILLAH.
Berkata Saidatina Aisyah r.ah, Rasulullah SAW. bersabda, “Wahai Aisyah, jauhi diri kamu daripada dosa-dosa kecil (lekeh) sesungguhnya dosa seperti itu ada tuntutan (pertanyaan) daripada Allah SWT.” (Ibnu Majah, Ad Darami, dan Al Baihaqi)
Daripada Saidatina Aisyah r.ah katanya, Rasulullah SAW bersabda: ”Sesiapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan terseksa”. Aisyah bertanya: ”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman, “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (Al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya terseksa.” (Riwayat Muslim)
Yang benar adalah tetaplah beramal dan berharap amalannya diterima dan takutlah sebuah dosa dan berharap Allah SWT mengampuninya.
Bilal bin Sa'ad seorang tabi'ie rahimahullah berkata:
"Janganlah kamu lihat kepada kecilnya sebuah maksiat akan tetapi lihatlah kepada Agungnya siapa yang kamu maksiati".
Sumber : Unit Islam Hadhari PSM
No comments:
Post a Comment