Denaihati.com

Friday, 6 December 2013

Kenapa Masih Tidak Berubah?

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

 

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; “ ( Surah An Najm : 39)

 

ULASAN AYAT :

1.        KITA seringkali memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai yang ingin melihat orang lain berubah. Malah, kita berkeinginan untuk berubah, tetapi masih tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah, kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu mengubah pekerja kita, tetapi malangnya anak dan isteri kita masih tidak mampu kita ubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

2.        Sesungguhnya rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar hasrat kita untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak akan berkesan. Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa dengan apa yang kita laungkan.

3.        Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri, pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan sekiranya kita tidak mahu mengubah dan berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada pada diri kita sendiri.

4.        Justeru itu, marilah sama-sama kita mengorak langkah dengan membentuk dan mendidik diri dengan bersungguh-sungguh, lorong dan jalan untuk  berubah terbentang luas di hadapan kita, hanya kitalah yang tidak mahu membuka hati dan fikiran kita untuk menyelusuri jalan-jalan hidayah agar kita mampu mengubah diri ke arah kebaikan.

 

WALLAHU’ALAM

 

Sumber : Unit Islam Hadhari MOA

 

No comments:

Post a Comment