السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera
Di dalam Al-Quran diceritakan bagaimana mungkin perbuatan mungkar mampu ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata, sedangkan dalam ayat yang lain Allah menyatakan kemurkaan kepada orang yang solat. Ini dapat dilihat pada ayat ke 4 surah al-Maa’un yang bermaksud :
“ Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya”
Ibnu Abbas memberi gambaran bahawa yang dimaksudkan orang yang celaka disini ialah orang-orang yang munafiq. Dimana mereka mengerjakan solat ketika di hadapan banyak orang dan tidak mengerjakannya ketika ia dalam keadaan bersendirian. Samada lalai ketika dalam solat mahupun lalai untuk mengerjakannya pada waktu yang ditetapkan. Pendapat mengenai ayat ini ditegaskan kepada orang yang lengahkan solat juga dipersetujui oleh Masruq dan Abu ad-Dhuha.
Menurut ‘Atha’ bin Dinar pula. Allah telah menggunakan kalimah (‘an) ‘yang lalai dari solatnya’. Allah tidak menggunakan kalimah ( fi ) ‘yang lalai di dalam solatnya’. Ini bermaksud jelas bahawa lalai disini adalah lalai dengan melengah-lengahkan solat.
Di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karangan al-Imam As- Suyuthi mengatakan bahawa, daripada Sa’ad B. Abi Waqash telah berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang FirmanNYA: “(Iaitu) orang-orang yang lalai dari (tentang) solat mereka” Nabi SAW telah bersabda: Mereka ialah orang-orang yang melewatkan solat dari waktunya.
Dapat dipastikan disini bahawa salah satu ciri-ciri orang yang munafiq ialah suka melambat-lambatkan solat sehingga di hujung waktu.
WALLAHU’ALAM
Unit Islam Hadhari MOA
No comments:
Post a Comment