Denaihati.com

Thursday, 9 January 2014

Tangan Yang Diatas Lebih Baik Dari Tangan Dibawah

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

 

Daripadanya (Abu Hurairah RA) daripada Nabi SAW sabdanya,  “Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkabn keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya”.

Riwayat:  Bukhari

Huraian:

1. Orang yang suka memberi adalah lebih mulia dan disanjung oleh Islam daripada orang yang suka meminta-minta.

2. Perbelanjaan hendaklah diutamakan kepada kaum keluarga yang dibawah tanggungan.

3. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang telah mencukupkan perbelanjaan untuk keluarganya.

4. Perbelanjaan dan pemberian yang telah dikeluarkan oleh seseorang akan diganti semula oleh Allah.

5. Islam menggalakkan umatnya supaya bersifat pemurah, bersabar atas kemiskinan dan merasa cukup dengan apa yang ada tanpa meminta kepada orang lain.

6. Islam benci kepada orang yang suka meminta-minta. Allah akan memberi kekayaan kepada seseorang yang telah merasa cukup dengan apa yang ada padanya walaupun dia miskin.

7. Sesiapa yang memohon pertolongan Allah untuk mendapatkan sesuatu pasti akan ditolong.

8. Keluarga sendiri hendaklah didahulukan dan diutamakan dalam nafkah.

Sumber : Kitab Riyadhus Solihin / Unit Islam Hadhari MOA

 

Wednesday, 8 January 2014

Kelebihan Solat Subuh Berjemaah

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

 

Daripada Jundub bin Abdullah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersolat subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian (Allah denan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan (perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka”.

Riwayat:  Muslim

 

Huraian:

1.   Orang Islam disuruh solat 5 waktu berjemaah kerana terdapat fadhilat-fadhilat yang khusus lagi banyak

2.   Orang yang menunaikan solat 5 waktu khususnya solat subuh maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari.

3.   Setiap orang yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT (dilemparkan ke dalam api neraka jahannam).

4.   Dikhususkan (ditentukan) solat subuh dengan kelebihan ini kerana solat subuh lebih berat daripada solat-solat lain disebabkan waktu subuh adalah waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwudhuk dan bagi orang yang bekerja pula subuh adalah masa membuat persiapan untuk keluar bekerja.

5.   Dengan meninggalkan solat subuh terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

Sumber: Kitab Riyadhus Salihin/ Unit Islam Hadhari MOA

 

Friday, 6 December 2013

Kenapa Masih Tidak Berubah?

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

 

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; “ ( Surah An Najm : 39)

 

ULASAN AYAT :

1.        KITA seringkali memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai yang ingin melihat orang lain berubah. Malah, kita berkeinginan untuk berubah, tetapi masih tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah, kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu mengubah pekerja kita, tetapi malangnya anak dan isteri kita masih tidak mampu kita ubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

2.        Sesungguhnya rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar hasrat kita untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak akan berkesan. Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa dengan apa yang kita laungkan.

3.        Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri, pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan sekiranya kita tidak mahu mengubah dan berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada pada diri kita sendiri.

4.        Justeru itu, marilah sama-sama kita mengorak langkah dengan membentuk dan mendidik diri dengan bersungguh-sungguh, lorong dan jalan untuk  berubah terbentang luas di hadapan kita, hanya kitalah yang tidak mahu membuka hati dan fikiran kita untuk menyelusuri jalan-jalan hidayah agar kita mampu mengubah diri ke arah kebaikan.

 

WALLAHU’ALAM

 

Sumber : Unit Islam Hadhari MOA

 

Friday, 29 November 2013

Catatan Amal Hingga Hari Akhirat

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."

Riwayat Ammaar bin Yasir r.a

Huraian:

i.    Ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap umat Islam dalam setiap masa.

ii.    Ia sebagai menandakan ingatan, cinta dan kasih terhadap baginda di mana jasa dan pengorbanan baginda amat besar sekali terhadap Islam dan perkembangannya

iii.    Orang yang tidak membiasakan dirinya dengan berselawat adalah dianggap sebagai orang yang tidak mengenang budi (tidak menyanjung) baginda sehinggakan syarak melabelkan mereka sebagai orang yang bakhil.

iv.    Disebabkan besarnya fadhilat berselawat tersebut, maka Allah S.W.T telah menetapkan malaikat yang khusus bertugas sebagai penyampai selawat yang diucapkan terus kepada baginda.

Sumber :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/Unit Islam Hadhari MOA

 

 

Friday, 22 November 2013

Panduan Bagi Orang Yang Diuji

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;-

Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.

Riwayat Ibn Abi Dunya

Huraian:

i.   Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.

ii.   Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).

iii.   Imam al-Ghazali pula berkata: Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.

iv.   Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/ Unit Islam Hadhari MOA

 

HATI TEMPAT JATUHNYA PANDANGAN ALLAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila baik, maka baiklah seluruhnya dan apabila rosak maka rosaklah seluruhnya, ketahuilah!itulah yang dikatakan hati.

Riwayat Bukhari dan Muslim

ULASAN:

i.            Hati adalah tempat pandangan ALLAH, tempat pertimbangan, tumbuhnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan keras kepala, ketenangan dan kegelisahan. Hati juga sumber kebahagiaan, jika kita mampu membersihkannya, namun sebaliknya merupakan sumber bencana jika kita mengotorinya dengan maksiat.

ii.            Hati yang baik akan melahirkan pertuturan dan tingkahlaku yang sentiasa baik. Mereka yang memiliki hati yang baik adalah mereka yang hatinya sentiasa dilembutkan dengan zikrullah dan sedar akan hakikat dirinya adalah hamba kepada penciptanya.

iii.            Bagi mereka yang tidak memiliki hati yang baik (hati rosak / mati) dapat dikesan dengan hati dan fikirannya sentiasa disibukkan dengan perkara yang melalaikan lagi bermaksiat. Hatinya akan merasa resah dan tidak gemar dengan urusan yang melibatkan agama serta tidak bersungguh-sungguh dalam perkara kebaikan(memandang remeh). Mereka ini adalah mereka yang memiliki hati keras. Orang yang hatinya keras akan melahirkan sifat dan amalan yang nafsu suka.

iv.            Petanda untuk mengenali hati kita bertambah baik dengan meningkatnya amal kebaikan serta lebih cenderung kepada amal kebaikan sebaliknya jika secara beransur-ansur melakukan maksiat serta berat melaksanakan perkara ketaatan dan kebaikan adalah petanda kualiti hati kita semakin merosot. Nauzubillah.

v.            Sedarilah bahawa hati kita adalah segalanya maka lembutkanlah hati dengan perkara-perkara yang soleh seperti menghadiri majlis ilmu, mendengar tazkirah, membaca dan mendengar Al Quran, zikir, azan dan seumpamanya. Hati adalah ibu kepada seluruh anggota kita.

WALLAHUA'LAM.

Sumber : Unit Islam Hadhari MOA

 

Tuesday, 12 November 2013

Wahai lelaki, lindungilah wanita..

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian

1.Para suami hendaklah bersikap bijaksana dalam membentuk kehidupan isteri-isteri mereka. Jika berlaku sebaliknya akan mengakibatkan kepincangan rumahtangga yang mungkin berakhir dengan perceraian.

2.Adalah menjadi kewajipan setiap suami untuk memberi didikan dan tunjuk ajar secukupnya dengan penuh kesabaran kepada isteri mereka agar tidak terumbang-ambing dalam hidup.

3.Berulang-ulangnya pesanan Rasulullah SAW mengenai wanita menunjukkan ia sangat-sangat penting kerana mereka adalah golongan yang lemah dan perlu kepada orang yang melindungi mereka dan menguruskan hal mereka serta mengawal pergerakan mereka ini kerana  kebebasan tanpa sempadan yang diberikan kepada anak-anak gadis menyebabkan berlakunya kepincangan besar dalam masyarakat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

4.Hadis ini memberi tunjuk ajar dan panduan kepada lelaki supaya bertolak ansur dan bersabar dalam berinteraksi dengan kaum wanita. Suami mestilah bersabar terhadap sikap isteri yang kurang memuaskan kerana lelaki lebih mampu sabar.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/ Unit Islam Hadhari MOA

 

Monday, 11 November 2013

Isnin Hari Kelahiran Rasulullah SAW

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: "Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku".

Riwayat Muslim

Huraian:

1) Merayakan maulid rasul termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW dan sesiapa yang meraikannya diberikan pahala oleh Allah SWT. Begitu juga menyambut hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Maal Hijrah, Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa dan Haji, Nisfu Syaaban dan sebagainya.

2) Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 32 yang maksudnya : "..dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah"

3) Rasulullah SAW adalah merupakan syiar atau tanda kebesaran Allah SWT kerana dengan kelahiran Rasulullah SAW, dunia mengetahui tentang keesaan Allah SWT. Sesungguhnya Allah menyuruh kita mengambil pengajaran di atas peristiwa keputeraan Rasulullah SAW ini kerana ia akan memperkukuhkan keimanan dan kecintaan kita terhadap diri baginda dan meneruskan perjuangannya serta tidak melupakan ajaran dan sunahnya.

4) Mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW seperti dalam majlis maulidurrasul adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah sendiri telah berfirman yang maksudnya "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab:56)

5) Ulama telah sepakat memandang baik amalan menyambut maulidurrasul SAW. Di Malaysia, era 50an hingga 80an sambutan ini dilakukan dengan cara tradisional seperti berzanji, tilawah al-Quran, tahlil dan sebagainya. Namun perkembangan semasa telah mempengaruhi acara sambutan tersebut kepada bentuk baru seperti dengan mengadakan nasyid, forum, ceramah, perarakan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain melainkan untuk memperingati, mengagungkan, dan memuliakan Rasulullah SAW.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/ Unit Islam Hadhari MOA

 

Friday, 8 November 2013

Allah Tidak Pernah Jemu Dengan Hamba

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Daripada Aisyah RH, Nabi SAW bersabda :

Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya ALLAH tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling ALLAH sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhori dan Muslim)

ALLAH SWT tidak akan pernah jemu memberikan ganjaran sesuatu amalan selagi mana seseorang hamba itu tidak jemu beramal keranaNya. Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi terputus.
Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada ALLAH secara berterusan. ( Syarah Sahih Muslim).

Friday, 1 November 2013

Menunaikan Hak-Hak Persahabatan

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,
Dalam persahabatan juga turut mempunyai hak-hak yang perlu ditunaikan seperti yang diajarkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. Kaedah untuk menunaikan hak-hak persahabatan antaranya adalah seperti berikut :

Pertama: Mengenali hak persahabatan.

Apabila telah terjalin persahabatan diantara diri kita dan sahabat, maka wajiblah untuk menunaikan beberapa hak persahabatan dan wajib pula dijaga adab-adab dalam menunaikan hak-hak itu. Sabda Rasulullah s.a.w :    
Ertinya : “Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu ialah perumpamaan kedua belah tangan, dimana yang satu membasuh yang lain.” 
(Hadis riwayat Abu Mansor Ad Dilami dalam musnad Firdaus)

Tuesday, 29 October 2013

Ujian Musibah Tanda Hamba Dikasihi Allah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Daripada Anas RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, "Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah."
Riwayat at-Tirmizi

Amalan untuk masuk syurga

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

 

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori RA bahawasanya seorang lelaki berkata "Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga". Jawab Rasulullah, "Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan solat, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim".

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian:

1.    Hubungan silaturahim adalah salah satu cara yang membolehkan seseorang masuk syurga.

2.    Hubungan silaturahim adalah sebahagian daripada amalan yang dituntut oleh Islam.

3.    Memutuskan hubungan silaturahim menghalang seorang daripada masuk syurga.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

 

Friday, 11 October 2013

Panduan Bagi Orang Yang Diuji

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.


Riwayat Ibn Abi Dunya

Huraian:
1.           Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
2.         Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
3.         Imam al-Ghazali pula berkata: Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.
4.         Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.


                                                                    Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Fadhilat dan Hikmah Korban

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
            Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu

 


                                                       Riwayat Riwayat at- Tirmidzi


Wednesday, 11 September 2013

PENGERTIAN & HUKUM IBADAH QURBAN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Pengertian Qurban

  • Dari segi bahasa, qurban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala
  • Dari sudut syara‘, qurban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.